Ekspo Muafakat Kedah jadi program dwitahunan Ramai Pengunjung

Sabtu, 3 March 2018 | 6:22pm

ALOR SETAR: Ekspo Muafakat Kedah akan diadakan secara dwitahunan jika Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat mentadbir kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata ekspo itu perlu diteruskan susulan kejayaannya menarik kunjungan lebih 500,000 pelawat, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, di bawah pentadbiran BN, edisi kedua ekspo itu dijadual akan diadakan pada Februari 2020, dengan suntikan nilai tambah membabitkan penyertaan lebih banyak agensi dari dalam dan luar negara.

Setiap kluster berkenaan mendekatkan semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di Kedah untuk berada di bawah satu bumbung.


Dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung, ekspo lapan hari itu adalah yang terbesar dan paling lama dianjurkan dalam sejarah negeri ini.

"Atas pencapaian dan kejayaan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa Ekspo Muafakat Kedah akan diadakan dua tahun sekali dengan syarat kerajaan sedia ada iaitu BN diberi mandat baharu yang lebih kukuh supaya lebih banyak usaha meneruskan kejayaan dapat dizahirkan.

"Justeru, jika mandat kukuh kita perolehi, maka Ekspo Muafakat Kedah di era 2020 akan ditambah nilai dengan dua pakej kluster iringan.

"Ia akan membabitkan penyertaan semua kementerian yang ada, selain pembabitan negara jiran," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup EMK 2018 di Stadium Darul Aman, di sini.

Majlis penutup ekspo yang berlangsung selama lapan hari itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ekspo Muafakat Kedah 2018, yang berlangsung sejak 24 Februari lalu, dengan menampilkan 20 kluster dan 199 agensi kerajaan serta swasta, melabuhkan tirainya hari ini

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata, paparan kluster dalam ekspo itu berjaya menjadi satu testimoni yang membuktikan banyak peluang boleh diterokai rakyat Kedah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan mekanisme segera dengan setiap daerah diberi peruntukan khas bagi kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya fungsi mereka selaku petunjang dan teras utama pembangunan serta kemajuan negeri dapat dijayakan.


PENGUNJUNG membaca tulisan luahan hati rakyat Kedah yang dilekatkan di gerai pameran BARAKAH pada Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam


Sumber :http://www.bhplus.com.my/berita/wilayah/2018/03/395266/ekspo-muafakat-kedah-jadi-program-dwitahunan